KITA JAGA KITA
Sudah hampir setahun kita hidup dalam suasana norma baharu sejak dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19.
Jika kita imbas kembali pada tahun lalu, antara kes jangkitan Covid-19 di Malaysia telah dicatatkan menerusi lapan kontak rapat kepada kes pertama virus tersebut di Singapura berada di Johor Bahru. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa kesemua mereka telah dikenal pasti dan dikuarantin selama 14 hari.
Susulan itu, kes positif Covid-19 didapati semakin hari semakin meningkat sehingga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Fasa PKP di Malaysia
Di Malaysia, kita telah menjalani beberapa fasa PKP. Kalau ada yang dah lupa, mari kami ingatkan semula.
Fasa 1: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac 2020 – 3 Mei 2020
Fasa 2: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 4 Mei 2020 – 9 Jun 2020
Fasa 3: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 10 Jun 2020 – 31 Disember 2020
Pada masa yang sama, kerajaan juga telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bagi beberapa kawasan tertentu yang mempunyai kes jangkitan yang tinggi. Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Sungai Lui, Hulu Langat dan Menara One Citu, Kuala Lumpur.
Namun, akibat peningkatakan kes positif Covid-19 pada suku terakhir tahun 2020, beberapa daerah dan negeri dikenakan semula pelaksanaan PKPB. Sehingga kini pada tahun 2021, kita sekali lagi perlu berhadapan dengan PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari 2021 hingga 27 Januari 2021.
Dalam setiap fasa PKP ini berlangsung, ramai pihak yang terkesan. Ini termasuklah mereka yang dibuang kerja dan ada juga yang hilang punca pendapatan kerana tidak boleh berniaga seperti selalu. Oleh itu, tanda pagar #KitaJagaKita telah digunakan secara meluas sebagai tanda sokongan kita sebagai rakyat dalam membantu antara satu sama lain.
4 Kisah menarik #KitaJagaKita
1. Ustaz Ebit Lew
Ustaz Ebit Lew atau nama sebenar Ebit Irawan bin Ibrahim Lew merupakan figura awam yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Dengan sifat ihsanya sesama manusia, beliau antara individu yang paling banyak mendapat liputan sepanjang tempoh PKP dahulu.
Selain membantu orang ramai dengan menyediakan barang keperluan harian, Ustaz Ebit juga mengambil langkah yang lebih mulia sehingga sanggup memindahkan golongan-golongan yang kurang berkemampuan ke rumah yang lebih selesa. Alhamdulillah kalau ada 100 orang macam Ustaz Ebit ini pasti tiada orang yang susah.
Keprihatinan beliau tidak terhenti setakat itu, pemilik Elews Mart ini sekali lagi membuat tindakan luar jangkaan apabila beliau menyewa beberapa buah pesawat untuk menghantar barang keperluan ke Sabah tatkala negeri tersebut dikenakan PKPB pada November Oktober lalu. Wow! terbaiklah ustaz.
Niat murni tersebut bukan sahaja mampu memberi senyuman kepada orang ramai. Malah beliau telah mendapat penganugerahan atas jasa baik beliau. Antara anugerah yang diterima adalah Anugerah Khas Hari Belia Negara 2020 dan Anugerah Wira MeleTop. Inilah istilah ‘Kita Jaga Kita’ yang sebenar. Semoga Ustaz Ebit sentiasa berada dalam kesihatan yang baik untuk terus membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.
2. Pereka fesyen jahit PPE
Antara golongan yang tidak henti berjuang dalam memerangi wabak ini adalah barisan hadapan kita lebih-lebih lagi anggota kesihatan. Saban hari mereka bekerja lebih masa dan sanggup berkorban berhadaban dengan virus ini.
Dalam memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat, anggota kesihatan ini perlu memakai sepersalinan pakaian perlindungan atau lebih dikenali sebagai Personal Protective Equipment (PPE).
Pada awal penularan kes jangkitan tersebut, stok PPE ini adalah sangat terhad. Namun, dengan kebolehan dan bakat yang ada, beberapa pereka fesyen tempatan telah bersama-sama berganding bahu dan menyahut seruan #KitaJagaKita untuk menghasilkan PPE. Terbaiklah ini barulah Kita Jaga Kita!
Antara 5 pereka fesyen tersebut adalah;
- Datuk Radzuan Radziwill – Berjaya hasilkan 500 PPE dalam masa 10 hari
- Melinda Looi – Melancarkan Misi MODA untuk frontliners
- Jovian Mandagie – Menghasilkan PPE bewarna putih tampak lebih eksklusif
- Ana Abu – Berjaya mengumpulkan dana RM30 ribu untuk penghasilan PPE
- Zachrin Jaafar – Menyediakan 1200 PPE di hospital Slim River
3. Wanita OKU jahit PPE
Walaupun dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, orang kurang upaya (OKU) ini turut menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri.
Norfarrah Syahirah Shaari, 32 yang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI), tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan ini menzahirkan bantuan kepada para barisan hadapan.
Dia menggunakan kemahiran menjahit dengan menggunakan kaki untuk menghasilkan gaun isolasi yang akan disumbangkan kepada petugas kesihatan Hospital Teluk Intan (HTI) dan Klinik Kesihatan Teluk Intan.
Melalui inisiatif #DariKomunitiUntukKomuniti itu, dia bersama 25 tukang jahit yang lain berjaya menghasilkan 252 PPE untuk diagihkan kepada jururawat dan doktor yang memerlukan.
4. Sukarelawan universiti
Tatkala pelaksanaan PKP, ramai pelajar khususnya para siswa yang terkandas di universiti masing-masing. Sepanjang tempoh tersebut juga ada pelajar yang meringankan tulang menjadi sebahagian daripada barisan sukarelawan.
Tugas mereka ini benar-benar menzahirkan ‘Kita Jaga Kita’ kerana menjaga kebajikan pelajar lebih dari 3 bulan. Antara tugas yang telah mereka jalankan adalah mengagihkan makanan setiap hari dan membantu dalam proses menghantar pulang pelajar ke kampung halaman masing-masing.
Tidak dapat dinafikan, membuat sesuatu pekerjaan dengan ikhlas tanpa mengharapkan bayaran itu adalah perbuatan yang murni. Ianya mungkin tidak mampu dibalas dengan wang ringgit, namun tenaga yang disalurkan tetap akan dikenang sehingga akhir hayat.
Terlalu banyak sebenarnya kisah perpaduan rakyat Malaysia yang boleh diambil iktibar dan dikongsi bersama. Antara jasa yang tidak akan mampu untuk kita balas adalah jasa barisan pejuang hadapan yang setiap hari bertungkus lumus untuk memerangi wabak ini.
Marilah kita sama-sama terus bersemangat untuk memegang prinsip ‘Kita Jaga Kita’ dengan kekal berada di rumah dan elakkan berada di tempat yang sesak. Semoga wabak ini akan cepat hilang dan kita dapat kembali hidup seperti sedia kala.
Dalam kita menjaga antara satu sama lain, semestinya kita juga mahu membantu diri dan keluarga kita juga. Apa kata dalam keadaan yang getir ini kita ambil peluang untuk mulakan perniagaan sendiri. Apa tak yakin? Jangan risau, kami akan sediakan segala kemudahan cetakan serta latihan keusahawanan untuk anda menjadi seorang peniaga yang berjaya. Mari sertai kami sekarang!