Ada tak siapa-siapa plan nak buat side income? Anda perasan tak dekat Malaysia ni trend dropship ni makin menjadi-jadi. Semua orang berebut nak kembangkan perniagaan dengan kaedah ini.
Dengan adanya internet, peniaga kecil sekarang mampu untuk melipatgandakan pendapatan dengan meniaga secara online. Begitu juga dengan syarikat-syarikat mega yang kini sedang berlumba-lumba untuk meningkatkan keuntungan mereka dengan mengaplikasikan kaedah pemasaran secara digital.
Dalam keadaan kesempitan wang dan kekurangan modal, keinginan anda untuk jual produk sendiri mungkin sedikit mencabar. Tetapi dengan melakukan perniagaan dropship, ini adalah antara pilihan yang boleh dipertimbangkan.
“Untung ke buat dropship ni?” Sebelum kita nak tahu sama ada dropship ini menguntungkan atau tidak, kita perlu tahu apa yang dimaksudkan dengan dropship terlebih dahulu.

Apa itu dropship?
Dropship adalah salah satu konsep perniagaan yang menggunakan internet sebagai medium utama. Dropship ini juga merupakan bisnes yang ringkas, mudah dan mampu memberi pulangan yang lumayan. Bagi mereka yang baru berjinak untuk menceburi bidang perniagaan, menjadi agen dropship adalah langkah yang sesuai untuk mengenali dunia keusahawanan.
Apa yang menariknya adalah agen dropship tidak perlu menanggung risiko untuk menyimpan stok. Pada masa yang sama, kebanyakkan pembekal juga menawarkan peluang menjadi agen tanpa sebarang modal dikenakan. Wah untung kan? Tak perlu keluar modal tapi boleh dapat untung.
Bagaimana proses dropship ini berlaku?
Sekarang anda dah tahu tentang dropship. Tapi apa langkah seterusnya?
1. Pilih produk yang anda minat
Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah memilih produk yang anda minat sebelum anda menjualnya. Pemilihan produk amat penting kerana ia akan memberi keseronokan ketika mempromosikannya kepada pelanggan. Susah juga kalau kita jual produk yang kita tak minat, jadi stress nanti.
Pada kebiasaannya, pemilihan produk ini dipengaruhi oleh jantina. Yang perempuan mungkin boleh mula menjual pakaian, tudung ataupun alat solek. Yang lelaki pula boleh cari stokis yang menjual jersey bola, tote bag, kemeja-t sublimate ataupun aksesori seperti kasut atau topi. Kalau nak jadi agen dropship jual makanan pun boleh tau!
Untuk maklumat anda, bukan produk sahaja yang menawarkan peluang agen dropship ini. Anda juga boleh menjadi agen dropship yang menawarkan perkhidmatan, contohnya seperti pakej percutian dan agen insurans.
2. Dapatkan maklumat produk dan promosikan di media sosial
Seterusnya, anda memerlukan info-info berkaitan produk tersebut seperti gambar dan maklumat produk. Anda juga boleh menguji kreativiti anda untuk mencipta poster atau ayat promosi anda sendiri untuk menarik minat pelanggan. Barulah kita nampak lain dari yang lain.
Kemudian, tibalah masa untuk anda boleh mulakan tugas anda sebagai agen dropship dengan mempromosikan produk anda di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Layanan anda terhadap pelanggan juga penting supaya mereka tertarik dengan produk yang kita niagakan.
3. Serahkan tempahan pelanggan pada pembekal
Selepas anda mendapat tempahan, info pelanggan perlulah diberikan kepada pembekal untuk proses penghantaran. Haa dekat sinilah anda tak perlu pening kepala nak simpan stok atau pos barang. Semuanya akan diuruskan oleh pihak pembekal. Senang kan?
Walau bagaimanapun, urusan anda dengan pelanggan masih belum selesai sehingga barang tersebut sampai pada mereka. Jadi bersedialah jika berlaku sebarang masalah pengeposan. Inilah salah satu cabaran yang anda perlu hadapi. Tetapi jangan risau, semuanya boleh diuruskan dengan baik.

Kelebihan dan kekurangan dropship
Kelebihan dropship
1. Modal yang kecil
Dropship di Malaysia hanya memerlukan modal yang kecil. Anda tidak perlu menyediakan modal ribuan ringgit untuk memulakan perniagaan. Modal yang digunakan untuk dropship ini juga bergantung kepada pembekal. Ada yang mengenakan bayaran bagi tujuan yuran komitmen kepada agen dropship. Ada juga pembekal yang langsung tidak mengenakan sebarang cas dan memberi peluang sepenuhnya kepada agen untuk mencari pendapatan sampingan.
2. Bebas bekerja
Sebagai agen dropship, anda juga tidak terikat dengan waktu bekerja. Anda boleh jadikannya ia sebagai pekerjaan sampingan untuk mencari duit poket lebih. Sama ada anda hanya duduk di rumah atau sudah mempunyai perkerjaan tetap, anda masih mampu untuk menjadi seorang agen dropship.
3. Pelbagai pilihan produk
Cakap sahaja produk apa yang anda ingin jual, pelbagai jenis produk di pasaran sedia untuk mencari agen dropship di Malaysia ini. Jika anda mengikuti trend semasa, anda boleh menjadi agen dropship yang sedang in-trend dalam kalangan masyarkat Malaysia. Jualan produk semasa musim perayaan juga menguntungkan. Jadi agen dropship baju Melayu dan baju kurung sebelum Hari Raya memang boleh buat duit raya banyak tau!

Kekurangan dropship
1. Penipuan kualiti barang
Walaupun ada kalanya kita menjadi agen dropship daripada jenama terkenal, kita masih boleh ditipu oleh pembekal. Kebiasaanya perkara ini berlaku jika produk-produk tertentu tidak menepati kualiti seperti yang ditawarkan. Jadi, sebagai agen dropship, anda perlu memastikan dahulu kualiti sesebuah produk terlebih dahulu.
2. Ditipu pembekal
Walaupun perkara ini jarang berlaku, namun anda masih perlu berhati-hati. Kebiasaannya penipuan berlaku dari segi duit, produk dan proses pengeposan. Modus operandi mereka adalah selepas menerima bayaran daripada pelanggan, mereka akan menghilangkan diri dan kemudiannya tidak dapat dihubungi. Dalam hal ini, anda perlu selidik terlebih dahulu latar belakang pembekal sebelum mendaftar sebagai agen dropship.
3. Persaingan produk yang sama
Persaingan ini perkara biasa berlaku dalam mana-mana perniagaan. Namun sebagai agen dropship, anda bukan sahaja bersaing untuk mempromosikan jenama anda tetapi perlu juga bersaing dari agen yang lain untuk mendapatkan stok yang terhad dari pembekal. Oleh itu, persaingan ini akan membuatkan anda untuk lebih kreatif dalam mempromosikan produk kepada pelanggan.

Jadi untung ke jadi agen dropship ni?
Perkara utama dalam menjalankan perniagaan adalah untuk mencapai keuntungan yang maksimum. Tapi boleh ke dapat untung yang banyak dengan jadi agen dropship?
Persoalan ini berbalik kepada produk yang anda ingin jual. Di Malaysia, kebiasaannya harga agen hanya 20% daripada harga produk. Namun jika anda menjual sesuatu produk dengan laris, anda mampu menghasilkan keuntungan sehingga ratusan ringgit!
Sebagai contoh jika anda menjadi agen dropship kepada produk pencentakan yang menawarkan anda RM5 bagi setiap item. Jika anda berjaya menjual sehingga 100 item, dengan mudahnya anda akan peroleh komisen sebanyak RM500.
Menjadi agen dropship sememangnya memberi anda peluang yang besar untuk mendapatkan duit poket. Tetapi jika anda ingin mengembangkan lagi keinginan anda dalam dunia keusahawan, anda boleh cuba untuk hasilkan produk anda sendiri hari ini!